Saya terlibat dalam penganjuran. Saya menyediakan kertas doa juga, antara barisnya:

Segala puji bagi Allah yang mengurniakan sekian nikmat kesejahteraan jiwa, aqal dan nurani. Dialah Pencipta keindahan ilmu, membentang jalan terhadap apa yang keliru. Mengganjari kesaksamaan dalam kepincangan. Merahmati keangkuhan dengan kerendahan hati.

Salawat dan salam buat junjungan Rasulullah, sosok yang layak diteladani akan setiap tindakan dan ucapan. Peribadi yang menuntun kita menuju seribu jalan kebaikan.

Ya Allah, ya Maha Mengetahui, Pemilik ilmu yang terhijab, yang nyata, mahupun yang tersembunyi. Kurniakan kami keelokan dalam usaha. Anugerahkan kami dengan ilham menulis, menaakul dan menyelidik. Lapangkan masa dan ruang usia kami untuk menjadi manusia yang bermanfaat untuk semua menerusi kerja kesarjanaan kami.  

Bekalkan kami jiwa, aqal dan nurani  yang jernih, untuk bersyukur dan menghargai nikmat ilmu, Ya Allah. Jadikan kami dalam kalangan mereka yang memperoleh manfaat daripada ilmu, iaitu ilmu yang sinarnya melapangkan dada dan cahayanya menyingkap hati nurani.  Jauhkan kami daripada meraih ilmu untuk kemasyhuran. Kekalkan kami mencintai ilmu untuk lebih dekat dengan kebaikan dan ketulusan. 

Ya Allah, rahmati usaha kami ini dan mudah mudahan ia diterima sebagai amal soleh. 

Comments

Anonymous said…
Syahdu, menyentuh kalbu.
Anonymous said…
Di tengah-tengah perlombaan para sarjana mengejar nombor dalam janaan geran penyelidikan, penerbitan di jurnal berprestij seterusnya melancarkan lonjakan kenaikan pangkat dan gelar, elok sekali doa ini ditaakuli mereka dengan kesedaran bahawa yang mengurniakan ilmu dan kebijaksanaan adalah Allah dan tentunya ilmu dan kebijaksanaan itu lajurnya hanya untuk manfaat ummah dan memohon redha Allah pemilik segalanya.
Mawar said…
Sdr Anonymous
Mudah mudahan sampai ke qalbu.
Mawar said…
Sdr Anonymous
Sesungguhnya. Saya tidak gemar berlomba, Sdr. Penat.