Pengalaman menulis di akhbar dan majalah, sering menemukan saya dengan penyunting yang banyak mengandai-andai. Ejaan asal yang disangka silap ditulis, diubah. Akhirnya makna sebenar penulis bertukar. Ia berlaku beberapa kali dalam penulisan saya, khusus dalam penggunaan kata langka. Terkini, hari ini, tulisan pengalaman saya di HSKU, asalnya berbunyi HSKU: Guru yang Menuntun, diubah kepada HSKU: Guru yang Menonton. Saya kecewa pastinya kerana ia judul besar dan ia adalah sumbangsih saya yang istimewa untuk HSKU dan Utusan/Mingguan Malaysia. Saya menulis kepada editornya, Sdr Sahidan Jaafar agar ada kotak maklumat ralat minggu depan (rencana ini bersambung minggu depan) berkaitan judul besar itu. Menuntun maknanya memimpin, membimbing, mengasuh; itu erti yang sangat luhur jauh datangnya dari kalbu saya sewaktu mengetik rencana berkenaan. Saya orang kecil yang menulis, mungkin sahaja rencana ini tidak ada makna yang besar kepada banyak pihak. Bezanya,  saya adalah guru yang menulis...

Comments

Anonymous said…
Barangkali editor wajar mengesahkan terlebih dahulu dengan penulis sebelum sesuatu penyiaran artikel atau karya. Pada masa akhbar berbahasa kebangsaan bertanggungjawab mengadvokasi bahasa ibunda yang harus dimartabatkan, seboleh mungkin kekhilafan yang sedemikian dielakkan. Kalau tidak kita, siapakah lagi yang diharapkan untuk menyanjung bahasa jiwa bangsa ini?
Mawar said…
Sdr Anonymous
Saya bersetuju dengan pandangan Sdr. Terima kasih.