Bagaimana hujung minggu Sdr yang panjang? Selain membaca dan menulis, dapur saya wangi dengan harum biskut Belgium. Seperti dalam mimpi cerpen lama saya, "Dan Coklat Mengalir dari Ruang Buncah", saya meneruskan dengan dulang kek coklat pula. Nikmat apabila melihat biskut yang gurih disejukkan di atas redai, kemudian mengisi ke dalam beberapa balang comel yang diikat reben. Kepingan kek yang dibahagi-bahagikan, menyeret saya ke ruang Rumah Coklat: “Bukankah kehidupan seperti sekotak
penuh coklat dan kita tidak tahu coklat yang bagaimana bentuknya dan jenis
apa yang kita akan terima.” Dia mengulang pula dialog Forrest yang banyak
berlari dalam hidup. Atau sayakah itu yang mahu sahaja berlari apabila setiap
saat bertemu dengan manusia yang menyarung pelbagai topeng. Dan sarung itu
boleh ditukar-tukar. Sarung muka yang sentiasa ada di kantung baju. Ia mudah
disimpan, diganti dan dikenakan dalam keadaan-keadaan tertentu. Saya mahu
berlari dan berlari daripada topeng-topeng itu kerana ia sangat mengusir kepercayaan
yang saya sediakan. Nantinya saya hanya mempercayai Tuhan dan diri sendiri.
Atau nantinya kepercayaan itu hanya buat Tuhan kerana kadangkala saya menyedari
bahawa diri sendiri pun pernah berdusta.
Comments
Terima kasih. Sering juga banyak yang berbalam dalam berjarak.
Alhamdulillah. Memang enak. Harus cuba buat. Google saja resepinya, Belgium Cookies :-)