Cerpen terkini ...


Berada di sesebuah daerah asing agak banyak menawarkan ilham kepada saya untuk menulis. Daerah asing itu sama ada saya menziarahi tempat itu secara lahiriah, mahupun daerah yang sangat batiniah sifatnya seperti memasuki sempadan pengalaman  atau mimpi orang lain. Ya, cerpen terbaru saya, "Bulan di Gifford Avenue" (Ogos 2017, Dewan Siswa) mengambil sepotong daerah di Wellington ketika saya ke sana beberapa tahun sudah. Selebihnya, saya membawa kaki kecil saya melewati daerah kanak-kanak dan remaja seorang sahabat yang sangat dekat dengan bulan. Ya, bulan. Di situ tempat dia menggantungkan rindu sebenarnya, saya percaya, terhadap ibunya yang sangat dikasihi. Bujukan ibu tentang kucing kesayangan yang berpulang, justeru bulan dijadikan tempat terbaik untuk sahabat saya itu menterjemahkan kasih sayang dan rindu yang sangat dalam rawannya. Subhanallah. Saya juga pernah menyediakan ruang khayalan yang indah buat anak saya sebagai bujukan. Namun di dasar hati, saya mendoakannya agar memiliki kalbu yang jauh lebih jernih dan tabah saat berdepan dengan banyaknya pertelingkahan mahupun kesedihan yang panjang.

Comments

Anonymous said…
Ada ketikanya kita ingin memutar kembali pusingan masa. Merentangi zaman kanak-kanak yang masih ada ayah bonda yang mengasihi dan melindungi. Tempat mengadu resah dan rawan sehingga menjejak remaja dan dewasa. Betapa kehadiran ayah bonda terlalu indah. Kini masanya untuk anak-anak pula merasakan betapa damai dan indahnya kehidupan mereka yang memiliki ayah bonda yang terus mengasihi dan menaungi.
Mawar said…
Sdr Anonymous
Benar, ini masanya kita mendengar resah dan rawan mereka.Terima kasih sedalamnya.
Qurratul 'Ain said…
Tahniah Dr atas penyiaran cerpen terbaharu. (Dan juga layout baharu blog Dr juga sangat manis, merah jambu!)
Mawar said…
QA
Terima kasih terus mengikut. Selamat menulis juga ya.