Penjuru Sukma

Hujung minggu yang padat. Seperti tahun-tahun lalu, harus meraikan sahabat dan kerabat yang mahu merakam kesyukuran dengan jamuan lebaran dan rumah terbuka. Allah ya Allah. Sebenarnya saya lebih berasa tidak selesa daripada gembira untuk acara makan dan makan. Jadi, saya berjanji hanya akan menjamah dan tidak mengambil air manis. Di samping ingatan seorang teman, jalinkan silaturrahmi. Justeru saya cuba akur. Dan pada saat yang sama saya menjamah pulut kuning dan rendang ayam, mencari kuih lama seperti bangkit, batang buruk atau biskut ma'amor, rindu saya jauh menyelinap ke penjuru sukma ini yang terkepung antara jalan gunung dengan berjaraknya kami. Alangkah saya dapat bersimpuh di ruang persujudan ketika angin dingin perkebunan membawa salam antara celahan dindingnya yang bersegi-segi. Saya mahu duduk berdiam, memaknakan sebenar akan Syawal. Kembali mengenang Ramadhan yang baru lalu dan yang diharapkan pada tahun mendatang. Ya, saya mahukan Syawal yang di luar konvensi. Saya sedikit bosan dengan cliche ini. Atau sebenarnya saya yang dungu mentafsir. Ampuni saya. 

Comments

Anonymous said…
Kalau boleh saya bersetuju dengan sdr bahawa setiap tahun umum melalui aktiviti Ramadhan dan Syawal yang klise. Bagaimana pemikiran semula harus digerakkan untuk memaknai pengertian dan tuntutan Ramadhan dan Syawal yang lebih menggenapi. Foto penjuru sukma itu begitu menggamit dan menjadi sesuatu yang dirindu
Mawar said…
Sdr Anonymous
Terima kasih pengertiannya.