Ruang persujudan 

Ramadhan ketujuh belas. Allah ya Allah. Banyak yang mahu dirakam sempena hari istimewa ini, tentang persahabatan Rasulullah dengan Jibrail (maaf para agamawan, jika silap saya menamakannya persahabatan). Saat saya dirangkul kecintaan terhadap al-Qur'an pada Ramadhan kali ini, lewat tazkirah tarawikh malam tadi, Ustaz bercakap juga tentang al-Qur'an melaknat mereka yang membacanya. Allah ya Allah. Bimbangnya saya. Tidak pula dimaklumkan mengapa jadi begitu. Saat mendengarnya, saya seperti mahu berlari ke perbukitan dan menyusup masuk ke ruang persujudan itu. Penjuru di sebuah perkebunan yang menumbuhkan cinta saya dengan subur sekali. Saya mula berdoa sungguh sungguh. Mohon Allah bantu pelihara dan bersihkan hati dan iman saya. Mohon Allah lorongkan ikhlas saya terhadap kecintaan ini. Saya sangat mahu bersahabat baik dengan al-Qur'an. Beriringan tanpa syarat. Bila-bila dan di mana-mana. Sahabat yang selalu ada. 

Comments

Anonymous said…
Ramadhan 1438H dirasai amat berbeza. Mendekat dan mengakrab kepadaNya menerusi tadabbur Al-Quran, mengertikan makna dan menterjemahkannya menerusi lebih banyak memberi (walaupun tidak banyak memiliki), mengasihi anak yatim dan fakir miskin. Menyantuni persahabatan dan perhubungan yang dilandas suruhan Tuhan yang dirasakan amat mendorong dan saling mengukuhkan.
Mawar said…
Sdr Anonymous
Masya-Allah tabarakallah. Mudah mudahan Allah bantu untuk terus berikhlas hati.
Anonymous said…
Masa secara perlahan-lahan, menyelak hakikat berteman manusia, menjadi akrab pada permulaan, namun sampai saatnya, keakraban itu berderai atas pelbagai musabab. Kehilangan yang amat sangat. Halus, perlahan, al-quran mula didampingi. Kalam-kalam Allah tanpa suara bicara perkara benar dan terasa ditemani sepanjang hidup. Apakah nama perasaan itu?
Mawar said…
Sdr Anonymous
Benarlah, saat al-Qur'an menjadi sahabat yang selalu ada.