Ramadhan ketiga belas. Merapikan Ramadhan saban kali tibanya, termasuk turut memperbagus rukun solah. Setiap kali mendengar kuliah tentang solah, pasti ada yang harus diperelokkan lagi. Maka apa yang menjadi tumpuan waktu itu adalah keazaman untuk menyempurnakan gerak dan bacaan. Di atas sajadah yang sama, betapa saya memohon ampun atas apa yang tidak diketahui atau dilalaikan sepanjang saya mendirikan solah. Di atas sajadah yang sekian masa menjadi teman kekesalan mahupun kesyukuran apabila mengenang rupa solah saya. Di atas sajadah juga, saya sangat gerun menimbang-nimbang adakah nanti hasil sujud dan penyerahan saya akan dicampak semula ke muka seperti kain buruk. Allah ya Allah. Masih banyak yang saya cuai. Saya terlupa rakaat. Saya mengulang bacaan. Saya pernah terlena juga antara bacaan tahiyat. Ya, di atas sajadah ini saya merupakan hamba Allah yang sangat hina. Saat saya mahu berbicara dengan Allah, saya lupa akan rukun dan tertib selayaknya. Ampuni saya Allah, dan sajadah ini menjadi saksi.

Comments

Anonymous said…
Ramadhan ini turut memimpin saya kepada penyerahan yang sebenar. Terutamanya ketika sujud, terasa amat keakraban dan penyatuannya. Meresap ke dalam kalbu dan sukma. Indahnya pertautan yang berlandas kepada kebenaran dan kesucian. Terima kasih kerana amat dirasakan dorongannya.
Mawar said…
Sdr Anonymous
Masya-Allah tabarakallah. Sangat berbahagia mendengar khabar ini. Terima kasih.