Saya mahu menyudahkan seluruh halaman al-Qur'an sepanjang Ramadhan. Pasti sahaja ia merupakan hasrat yang paling luhur. Itu antara yang disuarakan sahabat saya; persediaan Ramadhannya adalah dengan iltizam untuk menggenapkan bacaan. Ada sahabat lain yang mahu meneruskan apa yang sedang ditekuni. Ada juga yang mahu berjeda pada bacaan terakhir, memulakan 1 Ramadhan dengan al Fatihah dan al Baqarah dan selanjutnya. Memasuki Syawal nanti disambung kembali jedanya itu. Ya, saya sangat sebak dengan kisah kecintaan mereka terhadap al-Qur'an. Memandangnya. Mendakap kejap. Menyentuh tiap huruf. Membunyikan tiap dengung atau sabdu. Allah ya Allah, itu semua adalah kurnia. Apalagi makna yang dibawakan selalu serasi dengan gundah mahupun getar hati tepat pada ketikanya. Apalagi ada surah tertentu yang dapat dihafal lancar. Subhanallah. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini saya dapat jalani sebaiknya bersama-sama al-Qur'an yang saya cinta.  Saya tidak mahu berkejar-kejaran dengan bacaan saya. Sebaliknya saya mahu membawa hati saya menyantuni setiap bacaan dan makna dengan penuh ta'azim, kelembutan dan kasih sayang. Bukankah berkali-kali saya akui bahawa Dia adalah huda, syifa dan rahmah. 

Comments

Anonymous said…
Ternyata saudara menuntun saya menyintai Al-Quran dengan lebih wajar. Terima kasih setingginya.
Mawar said…
Sdr Anonymous
Kisah dan hasrat mereka yang menuntun kita, Sdr. Terima kasih perhatiannya.