Ramadhan Keempat. Kebahagian saya akhir-akhir ini ialah saya mencintai al-Qur'an. Apabila mengakui bahawa saya mencintai al-Qur'an, jauh sekali mahu mengatakan bahawa saya ini ahli al-Qur'an. Saya hanya bermaksud saya suka membaca, kerap membaca dan suka mendengar bacaan al-Qur'an. Berbanding dahulu, sayalah yang paling jauh daripada al-Qur'an. Semasa menjadi hujjaj, misi saya hanya membaca terjemahan. Allah ya Allah. Bertahun-tahun saya membaca terjemahan tanpa memperdengarkan ayatnya (takut tajweed yang salah dan bunyi bacaan saya yang buruk) sehingga suatu hari sahabat syurga saya, almarhum Wan Azreena menasihati saya. Katanya ayat al-Qur'an adalah syifa. Penyembuh. Bacalah. Saya seperti disergah Jibrail. Selepas itu Jibrail kedua saya adalah Zahar. Saya selalu mengintai bacaannya di penjuru sofa merah di rumah. Khatamnya berkali-kali. Saya sangat iri. Dan Ramadhan kali ini saya didatangi Jibrail lagi. Kami mahu bergandingan dalam membaca al-Qur'an. Tidak mahu tergesa tetapi lebih dengan rasa cinta dan bahagia menyatakan makna dan panjang pendek bunyi. Sesekali ditinggalkan atau mendahului, menjadikan saya sangat percaya, al-Qur'an adalah sahabat yang selalu ada. 

Comments

Anonymous said…
Sesungguhnya AlQuran sering menautkan antara sukma. Seperti sdr yang disertai "Jibrail", saya pula digamit Sang Puteri (SP) untuk menyintai AlQuran tanpa tergesa-gesa memenuhi misi khatam seperti lazimnya. SP mengajak saya untuk menelaah maknanya tanpa menggugat keutuhan tajweed, menyelami erti setiap ayat. Ternyata imbauan ini, meletakkan saya kembali di atas landasan penghayatan Ramadhan yang lebih benar, dengan merasai bahawa setiap erti itu menyapa, memperingat dan menegur saya. Terima kasih setingginya buat sdr yang menuntun.
Mawar said…
Sdr Anonymous
Masya-Allah tabarakallah. Alhamdulillah syukur. Mudah-mudahan saya juga turut dituntun sepertimana Sdr yang Terhormat.