Bertemu dengan nasihat daripada mereka yang sudah menjalani hidup sekian lama, merupakan satu kurnia. Saya dengan tidak malu, kadangkala mengemis, mohon tuntuni saya si debu ini; begitulah saya terus meminta-minta. Mengenali susuk sarjana yang saya hormati, walau tidak pernah menjadi guru saya secara rasmi sebelum ini, Allah mendatangkannya di jalan takdir kami. Dia pernah menyimpan gelar sebagai orang besar dan disanjung. Katanya, saya semakin uzur dan cinta terhadap dunia semakin luntur. Allah ya Allah. Bukankah saat saya mahu belajar untuk tidak cintakan dunia dan segala puji-pujian, Allah membawa dia lebih dekat dengan saya. Subhanallah.
Heningnya usai hujan |
Saya menyitir tuntunannya: baca dan fahami al-Qur'an. Perdalami perihal tasawuf. Teruskan amal jariah kerana Allah. Padam segala riak dan ujub. Cepat menuju jalan pertaubatan jika masih ada lintasan jahat. Sering melakukan introspeksi. Jadikan dunia sebagai ladang untuk ke sana. Perbanyak solah malam. Usah lagi melihat kesalahan dan memperkatakan tentang orang lain. Allah ya Allah. Heningnya menerima tuntunan ini seperti memasuki sebuah taman usai hujan. Sesungguhnya saya melihatnya datang sebagai kurnia. Alhamdulillah.
Comments
Terima kasih. Saya turut menghargai perhatian ini.
Terima kasih. Alhamdulillah, syukur. Saya lebih lebih lagi, mahu terus belajar.