Sendiri

Apa pantulan kematian pada Sdr? Suatu yang lumrah. Suatu yang akan datang setiap hari. Dan ia akan pergi dan berlalu begitu sahaja. Dada saya menjadi sangat penuh sejak mulanya minggu baru ini. Seorang sahabat dengan tiba-tiba sahaja menjenguk dan duduk di ruang kerja saya pagi itu seraya di tangannya ada kain putih yang seperti mahu didodoi. Subhanallah. Sambil berkali-kali bertakbir lirih, rupanya dia sedang memujuk kucing kecilnya yang sedang menghitung nafas-nafas akhir. Allah ya Allah. Sekejap itu sahabat saya menutup  tubuh yang elok itu, menjadi seluruh putih bersih. Saya memahami lantas menghubungi seorang pembantu yang boleh bersama-sama kami menguruskan ruang peristirehatan terakhirnya. Kami memilih satu penjuru di hujung fakulti. Segera saya mengingat A n A. Allah, bukankah mereka akan menjadi perhiasan tercantik di syurga-Mu. Lalu pagi ini pula Makcik Siti menyambut saya di ruang kerja dengan mengkhabarkan Zainal Abidin yang baru kelmarin merapikan pintu ruang kerja saya yang bermasalah liang kuncinya, berpulang malam tadi. Allah ya Alah. Bukankah baru sangat dia meyakinkan saya bahawa pintu saya selamat. Dan saya sangat ingat senyumnya memastikan. Antara pintu, kunci, keyakinan dan keselamatan, saya jadi nanar menerima khabar, dia sudah tiada! Pagi ini juga suami pembantu Jurnal Melayu kami, turut berpulang usai Fajar. Allah ya Allah. Kesedihan yang saya himpun dan tanggung tanpa kami punya apa-apa ikatan, merupakan perasaan luar biasa yang mengasak. Kematian bukan suatu yang lumrah. Kematian bukan suatu yang datang dan pergi dan berlalu begitu sahaja. Kematian adalah kebenaran yang sedang memanggil. 

Comments

Qurratul 'Ain said…
Pertama kali saya kaku ketika dikhabarkan kematian adalah 5 tahun lalu, iaitu kepulangan Ayah tercinta. Dan pemergian itu sangat mendidik dan menyedarkan saya yang semasa itu berusia 17 (sangat naif!) tentang kebenaran dan Allah. Perasaan menulis puisi kerana kesedihan akhirnya membawa saya kepada sastera. Sastera, secara tidak langsung 'menyelamatkan' jiwa dan fikiran menerusi kata-kata indah. Saya juga terkejut menerima berita ini ketika menuju ke pusat pengajian pagi tadi. Semoga kepulangan mereka ke negeri abadi sejahtera. Insha-Allah, Dr Mawar boleh mengharungi kesedihan ini. Sama-sama kita doakan yang baik-baik. Aameen.
ardisia said…
Aameen.
Saya sememangnya terfikir utk menulis sesuatu tentang kematian sejak akhir ini.
Namun, tak tahu nak mulakan dari mana.

Dari 2012-2016 ramai ahli keluarga terdekat dan sahabat/jiran yg rapat, juga kucing2 yang paling baik pergi meninggalkan saya.

Benarlah kata Harun Yahya di dalam bukunya "Hakikat Kehidupan Duniawi" yg kita semua nanti hidup dengan segala kenangan hingga hujung usia.

Kita juga nanti mungkin hanya diingati oleh segelintir orang atau kadang2 ingat, atau langsung tiada. Kehidupan yang bagaikan hanya sekelip mata.

Cuma saya amat terkesan bila ayah meninggalkan kami pada tahun 2013.

Bulan puasa 2013 kami bertiga di meja makan.2014,2015,2016 hanya berdua..saya dan arwah mak.

2017 ini saya akan keseorangan saja di meja itu. Tanpa mak dan ayah. Allah Lebih Mengetahui.Saya takkan tabah di situ utk Ramadan 2017.

Minggu lepas saya pulang ke kampung.Pintu rumah arwah dah bermangga..disewakan.

Saya menginap di rumah kak Long dan hanya mampu melihat saja rumah itu dari luar. Hanya mampu bersihkan halaman luar. Itu saja.
Anonymous said…
Barulah saya mengerti tanda pilu dan tangisan saudara pagi tadi. Semoga saudara dengan pelbagai ujian yang amat menyentuh sukma. Saya pun amat dapat merasakannya..
Mawar said…
Ananda QA yang dikasihi
Ternyata QA lebih cekal dan sabar. Mudah mudahan terus menjadi anak yang solehah.
Mawar said…
Ardisia
Sebak sekali!
Mawar said…
Sdr Anonymous
Sdr seperti dekat. Tapi saya hampir tidak menemukan sesiapa siang tadi.. yang saya temukan hanya sendiri.