Semalam saya ke sekolah lagi. Seperti sekolah AM, SMK Seri Menanti, Muar ini juga meraikan saya dengan kenangan persekolahan dahulu. Ternyata saya sangat cergas di sekolah. Daripada menjadi Ketua Pengawas, saya terlibat dalam sukan bola jaring dan penyanyi koir sekolah. Berpindah ke sekolah menengah saya banyak terlibat dengan Persatuan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris malah pernah bercita-cita untuk menyertai aliran TESL di ITM. Sebagai pelajar aliran sains juga, saya lebih gemar mengepit novel, yang antara saya uliti adalah Hujan Pagi, Saga dan banyak dari genre remaja yang ditulis Khairuddin Ayip atau Mohd Ismail Sarbini (akhirnya menjadi guru penulisan saya secara pos). Subhanallah. Ramai yang terpinga, setiap kali saya menyatakan Hujan Pagi adalah novel serius yang saya baca secara sukarela semasa sahabat sekelas ketika itu menekuni buku tebal biologi, kimia, fizik dan matematik tambahan (subjek yang saya paling tidak faham). Hingga ke universiti, saat teman sekuliah di lapangan mengukur pencemaran bunyi untuk kuliah ekologi, saya masih menyelinap masuk ke dalam puisi Muhammad Hj Salleh dan A Latiff Mohidin. Sehingga kini saya gemar membaca sains dalam menanggapi kemanusiaan. Atau seperti pohon sukma, sahabat sepanjang musim, melalui ekosistem dan biodiversiti yang didepaninya, saya diajak untuk lebih mengerti penyaksiannya terhadap manusia yang melalui jalan takdir 

Comments