Muhd.Nasruddin Dasuki, nama lama dalam dunia prosa Melayu. Saya fikir nama ini sebaris dengan almarhum Mohd. Ismail Sarbini (guru penulisan saya) dan Khairuddin Ayip. Membaca catatan terkini entri blognya, saya baru tahu bahawa Cikgu Khairuddin Ayip, novelis remaja masyhur itu adalah guru penulisannya. Subhanallah. Pembacaan zaman remaja saya banyak dipenuhi dengan novel-novel Mohd Ismail Sarbini dan Khairuddin Ayip. Saya mengenali Muhd. Nasruddin Dasuki lebih sebagai penulis cerpen. Kami pernah bekerjasama dalam buku Bagaimana Saya Menulis, DBP  - sedang diulang cetak. Membaca cerpennya, saya selalu melihat kecenderungan yang senang bereksperimen walau dalam nada yang sederhana. Baru juga saya tahu, beliaulah Editor Mingguan Famili 1986, ketika cerpen pertama saya disiarkan, sewaktu saya berada di tingkatan tiga. Begitulah lorong takdir yang Allah tentukan, sehingga saya akhirnya diminta menulis kata pengantar buku terbarunya ini, Cara Mudah Menulis Novel (daripada buku-e kepada versi cetakan). Subhanallah.   

Comments

Anonymous said…
Tahniah Dr Mawar. Anda seorang penulis yang sangat berbakat, seawal usia 15 tahun, karya anda sudah ditempatkan pada kedudukan yang tinggi. Teruskan perjalanan menjadi penulis murba yang peduli dan istiqamah. Syabas.
Mawar said…
Sdr Anonymous
Alhamdulillah atas kurnia ini. Ia pinjaman dan dengannya harus saya selalu berbahagi. Mudah mudahan ia membawa saya ke jalan syukur, selalu.