Selasa merupakan hari lumba lari untuk semester ini. Kuliah saya dari pagi hingga ke petang. Letih? Tidak sama sekali. Semakin tua saya kian senang mendampingi anak-anak murid. Saya mahu berbahagi kisah muda saya. Apa yang tidak harus diulangi atau apa yang sudah saya perbuat mungkin daripada cuplikannya dapat diambil sebagai ibrah. Apa sebagai orang tua yang saya fikir terbaik untuk anak-anak. Menyudahkan slaid peraturan dan pantang larang dalam kuliah minggu ini, ia termasuk bersih. Pelajar baris paling hadapan cepat menyebut bersih hati. Ya itulah maksud sebenar. Bukan hanya tubuh badan yang tidak berbau, pakaian yang berbasuh atau catatan nota yang rapi, hati juga harus dipastikan tulus. Satu susuk wajah yang bersih membayangi sejak dalam dewan kuliah petang tadi. Pohon sukma yang redup. Mata kalbu yang jernih. Sangat mengilhamkan untuk berbuat kebaikan sepertimana dia. Aneh, dalam mengenangnya, saya separuh iri separuh tergenang. Hampir air mukanya tidak beriak, berkocak dengan apa yang datang hatta puting beliung - saya.
Comments
Terima kasih kerana berbahagi cerita yang membahagiakan. Alangkah jika saya dapat mengenali sarjana "bersih" itu dan turut menjadi anak muridnya. Benar, bagi saya guru itu harus menuntun banyak jalan dan salah satunya adalah menumbuhkan jiwa anak muridnya menjadi lunak dengan kemanusiaan serta menyantuni tiap situasi dengan saksama. Jadi Sdr juga akademia ya?
Subhanallah. Kata-kata Sdr membangunkan hasrat saya lebih menjulang untuk mendidik, menuntun anak-anak murid saya. Terima kasih sedalamnya.