Foto kecintaan saya yang berulang ulang


Sejak kecil Emak mengasuh saya, secara tidak langsung, mengukur baju di badan sendiri. Selalu tahu membawa diri. Dalam apa-apa juga suasana atau acara, tahulah di mana harus kita duduk atau berdiri atau memberi ruang tertentu kepada pihak berkenaan. Sehingga sekarang saya belajar untuk meneruskan amalan itu. Namun kadangkala saya jadi dungu atau lupa atau mungkin saya sering diberi muka. Istilah lainnya, saya mengada-ngada, lupa letak duduk diri dan saya lalai dengan asuhan Emak. Siapalah yang akan menyedarkan saya, si debu berterbangan ini. Sabda Rasulullah yang saya cinta, pernah mengingatkan anak kecil juga boleh mengirim kesedaran. Kelmarin, AM dengan tangan masih dalam anduh, sendiri turun daripada kereta membantu seorang tua di tepi parkir masjid. Sebaknya saya melihat barangannya yang bertaburan dari atas motor dan AM mendatanginya lantas mengutip dan meletakkan di tepi. Begitulah AM mengasuh kalbu tua saya. Atau saya sebenarnya bercakap kepada diri sendiri, bercermin dirilah mawar, dengan siapa engkau mahu mengada-ngada.

Comments

Anonymous said…
Apabila AM berkejar membantu seorang tua walau tangannya masih beranduh, itulah paparan kejayaan saudara mendidik seorang anak. Daya fikirnya sudah berombak dinamik tanpa disuruh untuk melakukan sesuatu yang wajar. Dia tidak mengada-ngada tetapi hanya hendak menjadikan ibunya berasa bangga. Ada masanya dia mengada-ngada kerana dia tahu, dia disayangi oleh orang yang dia hulurkan kemengada-ngadaan itu.
Mawar said…
Sdr Anonymous,
Terima kasih. Saya senang asuhan yang mengalir secara alami, tanpa digesa. Alhamdulillah. Benar, mengada-ngada hanya dengan yang menyayangi. Maka, saya harus bijak mengukur terlebih dahulu.
Mel said…
Long saya yang amat dicintai. <3
Mawar said…
Mel,
Long yang selalu merindui anak saudaranya yang dikasihi.