Berapa banyak nama dalam doa sdr yang sama sekali tidak pernah sdr berjumpa, bercakap-cakap usahkan bersahabat baik. Selalu kita diingatkan berdoa tanpa diketahui sesiapa dan doa itu akan diaminkan malaikat yang bersama-sama kita. Subhanallah. Malah apa yang didoakan akan menjadi seperti lantunan bola ke dinding, ia akan kembali kepada yang mendoakan. Subhanallah. Saya melihat ia suatu keindahan apabila kita tidak pernah bertemu atau mengenali seseorang, namun kita bertemu dengannya dalam doa. Walaupun jauh daripada nyata, dalam baris doa itu kita seperti saling bersahabat baik malah bersaudara. Kita mahukan seluruh kebaikan yang ada buat dia. Kita mahu dia sihat untuk menggandakan taat buat Allah. Bagaimana pula nama dalam doa kita itu kepada seseorang yang sudah berpulang ke jalan datang dan semasa hidupnya juga kita tidak pernah tahu siapa dia. Apa yang membuat namanya terbit dalam senarai panjang doa kita? Mungkin sahaja warisnya yang kita kenali atau lorong takdir Allah menemukan kita dalam doa setelah orangnya tiada namun ternyata dia dapat dilihat mesra dengan mata kalbu. Subhanallah.
Comments
ya suatu keindahan. Subhanallah.
Terima kasih. Indah dan istimewa.
Mudah mudahan doa kita dijawab Allah...aamiin.