Takwim 2016 sudah melangkah masuk kotak April. Ya, begitulah cepat masa bergerak. Kuliah sudah berjalan separuh semester. Tugasan pelajar banyak yang perlu disemak dan pastinya membuat saya lebih migraine apabila kesalahan yang sama diulang-ulang; daripada ayat yang berjela tidak bersumber hingga kepada format penulisan yang jungkir balik. Projek penulisan yang terus diburu tarikh akhir. Jawatankuasa penilaian yang turut menuntut laporan segera. Kerja penulisan sendiri yang masih banyak tergantung. Ya Allah...dalam kepala yang berat saya teringat beberapa kepulangan bulan ini. Tetangga seusia saya yang pulang tanpa sebarang tanda. Hanya tewas sewaktu menyediakan makan pagi keluarga. Bapa saudara Zahar, almarhum Abdul Jalil Hashim, yang pulang selepas memasuki tahun ketiga tularan barah. Betapa kesempatan yang Allah beri buatnya termasuk mengerjakan haji dan khatam al Qur'an berkali-kali. Allah ya Allah. Ruang apalagi yang saya tunggu sedang ia akan datang tanpa sesiapa yang tahu dan ia hanya menuntut persediaan.
Comments