Buah tangan buat tetamu Mega-Asyraf
Hari ini kami menghadiri majlis raja sehari puteri bungsu mahaguru saya. Mega, saya kenali kali pertama saat dipimpin ayahnya, Prof Muhammad Haji Salleh sewaktu saya bergelar mahasiswa tahun pertama; ya 1991. Cepat sekali masa berlalu. Melihat kedua mempelai, ia juga membawa kenangan hari bersejarah Mawar-Zahar hampir mencecah 20 tahun. Prof Muhammad hadir meraikan kami. Dan saya masih ingat, (dan ini bukan imaginasi), yang turut datang mengucap selamat adalah Pak Ashraf Wahab, ya pendukung kuat Sastera untuk Masyarakat. Aneh juga, apabila mengingat semula, bagaimana saya akrab dengan tokoh masyhur itu. Seingatnya, saya bertemu Pak Ashraf sewaktu menjalani praktikal di DBP. Saya renung lama foto pengantin kami. Aneh sekali wajah saya...

Buah tangan buat tetamu Mega-Asyraf adalah kotak bahulu pandan yang enak dengan sisipan buku comel Pantun dari Tujuh Tanjung. Ini antara pantun Muhammad Haji Salleh yang saya gemari, dari belahan Pantun di Bali,

Kain tenun berjalur-jalur,
Janganlah pakai kain yang tua;
Tulislah dengan kata yang jujur,
Kerana jujur menjernihkan manusia.



Comments