Selain menyertai dua orang ahli rumah kami yang mudah melenting dan menjadi hali lintar atau petir sabung menyabung, saya terkenal dengan watak Neng Yatimah. Zahar kata di tepi mata saya ada suis yang hanya menunggu masa untuk ditekan dan nantinya saya boleh mengalirkan airmata dengan lancar sekali. AM selalunya yang mudah mengesan bila suis itu mula dihidupkan. Kenapa mummy menangis? Apa yang AM buat? Kadangkala AM pernah menggiat saya, mummy menangis sebab happy AM buat baik? Ya, kita kerap juga menangis pada perkara yang begitu membahagiakan. Ia seperti lambang kesyukuran. Seperti selalu Zahar akan berasa aneh melihat suis itu menyala sekonyong-konyong! Sahabat baik saya itu akan terus tertanya-tanya. Selebihnya, saya menangis apabila datang rasa kecewa, sering juga marah yang menggempur atau pasti sahaja saat saya merasakan cukuplah Allah sebagai penolong  dan Dia sebaik-baik pelindung...

Comments