Entah mengapa setiap kali pulang ke selatan, saya mahu menziarahi perempuan pikun ini selain ibu sendiri. Pernah tanpa kehadiran anaknya yang merupakan sahabat sekolah sejak kecil, saya ziarah bertanya khabar. Kali ini mendengar keuzuran perempuan 84 tahun itu, saya segera menarik Zahar ikut serta, kebetulan sahabat saya turut pulang untuk ibunya. Ketika saya masuk ke rumah, perempuan yang sudah bertongkat itu mahu berwudhu. Sementara menunggu, saya berbual panjang dengan anaknya yang banyak sekali bercakap tentang iman dan kegilaan dunia yang tidak jarang mengocak keikhlasan dalam beribadah. Saya mendengar dan banyak belajar. Selepas bertukar-tukar buku, saya mohon izin bersalaman dengan ibunya sekali lagi. Memasuki kamar perempuan ahli solat itu seperti membawa saya masuk ke ruang Narasi Gua dan Raqim (ingat buku tipis saya?) Mak risau bacaan solatnya tidak betul. Singgul sahabat saya. Sebenarnya bacaan mak betul. Mak yang risau solatnya tidak sah, sambung kakak sahabat saya pula. Saya terus bersimpuh mendapatkan tangan suci ahli solat itu. Saya kucup lama. Saya seperti mahu terisak-isak mengenang bacaan solat saya sendiri. Dengung tajwidnya. Makna yang tenggelam timbul. Hingga selalu saya lalai sendiri surah yang dibaca. Ya Allah....

Comments