AM mendakwa melihat sesuatu di dalam bilik saya di rumah kami. Bagaimana rupanya? Ekor yang agak panjang. Kepalanya biru, tegak seperti mahu mematuk. Badannya kuning. Saya bertanya lanjut, adakah ia sejenis reptilia. AM menggeleng. Sekali lagi saya bertanya, di mana tepatnya si kepala biru itu berada. Jelas AM, dia seperti merangkak di bawah meja kerja saya. Mata AM bulat seperti mahu melaporkan hasil penyiasatannya lagi tentang lidah, gigi, kaki atau jenis kulit si badan kuning itu. Seusia AM, ya genap tahunnya, saya pernah percaya Margaret Thatcher ke sekolah kami bersama-sama Lady Diana. Tahun yang sama, puisi saya "Merdeka O Merdeka" disiarkan dalam tabloid Mingguan Kanak-kanak. Kerlipan yang sama dengan mata mummy AM dahulunya, mempunyai satu beg sandang - kamera (milik abah), buku nota rahsia dan novel penyiasatan. Kita serupa AM!
Comments