Yang dirindui...

Musim cuti sekolah. Musim umrah dan ziarah. Beberapa tetangga dan sahabat mula keluar rumah beberapa minggu ini untuk beribadah di Medinah dan Mekah. Allahu akbar. Menariknya seluruh ahli keluarga juga turut serta. Alangkah saya dan keluarga kecil kami juga dapat menikmati musim cuti sekolah AM di Tanah Suci (mudah-mudahan, amin). Pertama kali saya menjalani ibadah umrah pada tahun 1999. Ya sudah sangat lama. Istimewanya pengalaman kembara spiritual itu saya jalani bersama-sama sahabat penulisan iaitu Bonda Zaharah Nawawi, sasterawan besar yang saya kagumi kegigihannya. Seorang lagi teman kami adalah Mahani Awang; ya si pemilik rumah makan masyhur Tupai-tupai. Saya mengenali Kekanda Mahani waktu itu sebagai wartawan/editor dan pernah membaca novelnya Tiga Jalan Terpisah. Setiap kami menyimpan kenangan yang manis saat Mekah masih asli. Dari hotel penginapan hanya perlu melintas jalan kecil untuk ke tangga Babus Salam Masjidil Haram. Allahu akbar. Sementara di Medinah, kedai-kedai kecil masih berderetan di tepi pintu Masjid Nabi. Betapa Mekah dan Medinah menjadi sangat mewah dua belas tahun kemudian apabila saya datang lagi sebagai hujjaj. Allah ya Allah... saya selalu teringat doa Nabi Ibrahim:  Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian. Allah berfirman: Dan kepada orang yang kafirpun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa ia menjalani siksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali (al Baqarah: 126).

Comments