Tidak masuk akal
Semuanya semakin mahal. Daripada harga rumah, tol dan sate. Ya sate. Sdr suka sate? Sejak kecil ia menjadi subjek mempertemukan ahli keluarga, kami akan keluar makan sate. Waktu itu seingat saya sate masih dengan harga 15 sen secucuk. Kemudian nikmatnya apabila melanjutkan pengajian di UKM, yang berdekatan dengan Kajang yang masyhur dengan sate. Waktu itu rasanya sate berharga 40 sen. Harga sate kian tumbuh dan tumbuh. Menetap di Kajang sekarang, saya sangat tahu perkembangan harganya, namun masih menganggap ia ejen membantu menggembirakan ahli keluarga pada hujung minggu. Namun apabila harga terkininya 90 sen naik kepada 95 sen dalam masa beberapa bulan, amatlah tidak masuk akal. Ya, bila-bila masa sahaja ia menjadi RM1 secucuk. Masih begitu rupanya, daging ayam (saya tidak makan daging lembu) dengan ukuran besar kecil yang tidak pernah adil. Timun dan bawang yang dihiris seperti hanya berbaki satu sudu di dapur. Walau tidak dinafikan sos kacangnya terus memukau. Namun masih tidak masuk akal harga RM1 untuk cebisan daging ayam. Ia memulakan azam yang kuat, saya mahu menyediakannya sendiri setelah menguasai kuah kacang yang resepinya saya dapatkan sendiri daripada seorang chef. Ya, saya akan bakar sendiri sate dengan menyelidik misteri keenakannya. 

Comments

Cerita sate Dr Mawar buat kita terkenang kisah waktu kecil. Arwah mak membela ayam di reban kecil di pelantar kecil, belakang rumah kami. Bayangkan, di taman perumahan, kami masih boleh bela ayam. Kalau teringin makan sate, mak akan suruh kita bawa tiga ekor ayam ke tempat penyembelihan dan proses ayam. Selepas itu bermula kerja-kerja mengasingkan daging ayam daripada tulangnya. Lepas semalaman diperap, baru dicucuk lidi. Kuning berkunyitlah jari dan kuku untuk sehari dua. Sate itu pula mak bawa ke rumah nenek untuk dibakar bersama-sama, makan bersama-sama. Kita sendiri pernah terfikir, mahu ulang tradisi ini di rumah. Mudah-mudahan Allah swt beri kelapangan masa dan tenaga.
Mawar said…
Sahabatku Lily,
ya kebanyakan orang punya kisah sate pada zaman kecil yang menarik.
Lily, kita tahu rumah awak di BR, kalau bakar sate tu mesti baunya sampai ke BTK.
Kita akan datang...