Riuhnya apabila di mana-mana orang bercakap tentang GST; dari penjuru membeli roti untuk AM hingga ke kedai kasut jenama "B" yang kami kunjungi semalam (kasut sekolah AM sudah kecil). Memerhati tingkah anak muda yang menjadi pembantu jualan, saya tiba-tiba boleh diserang ribut taufan yang maha dahsyat. Melayan pelanggan yang datang dengan air muka yang dingin, menjawab soalan orang yang mampir endah tak endah, memang bagi saya dia penjual yang tidak sopan. Saya terfikir-fikir, apakah nilai (good and) service tax yang mula dikenakan (atau sebenarnya bukankah dalam resit pembelian lama dulu pun sudah ada dinyatakan jenis cukai tersebut?). Sebagai pembeli atau pelanggan, kita dikenakan juga cukai perkhidmatan. Sejauhmanakah kita memperoleh perkhidmatan yang selayaknya daripada jurujual? Seingat saya beberapa kali saya menulis tentang betapa hodohnya perkhidmatan kaunter atau perkhidmatan jualan di negara ini. Berapa kali kita menerima ucapan terima kasih daripada jurujual di meja pembayaran? Atau sebaliknya seperti selalu, kita yang mengucapkan terima kasih! Berapa kali kita menerima senyuman ikhlas setiap kali masuk atau keluar dari kedai mereka? Dan akhirnya, terfikirkah, wajarkah kita membayar cukai perkhidmatan yang sejelek itu?

Pengalaman dengan si cantik Victoria di meja pembayaran
Beberapa kali pengalaman di luar negara sangat membuatkan hati saya berbunga-bunga dengan jenis perkhidmatan yang sama. Senyuman dan meraikan pelanggan, begitu membikin rasa kita terhormat. Satu perkara yang saya perhatikan,  mereka kelihatannya dilatih. Sebilangan mereka adalah jurujual yang berusia. Berbanding dengan apa yang saya temukan semalam di kedai kasut jenama "B" yang terdiri daripada anak-anak muda lepasan sekolah menengah yang terpaksa mencari duit saku, bukan pendapatan.  Sekali lagi AM dan Zahar terpaku apabila ribut taufan mula menyerang dan mendengar getar suara saya di hadapan jurujual muda kedai kasut jenama "B", tolonglah raikan pelanggan yang datang dengan hati yang ikhlas! Tolong senyum! Tolonglah!

Comments