Saya melihat dia berpeluh-peluh mengheret bagasi dan berhenti di hadapan bilik kerja saya. "Di mana ya saya bisa dapatkan buku-buku yang dipamerkan itu?" Tangannya menghala ke rak kaca di muka pintu masuk utama. Saya segera mendapatkan pembantu untuk menyelongkar gua simpanan buku-buku yang kebetulan berhadapan dengan bilik kerja saya. Susuk lelaki ini mengingatkan saya kepada Zahar. Dihulur kartu namanya, Holger Warnk dari Goethe Universitat. O bukankah ini Holger Warnk yang pernah saya lihat fotonya dalam acara ITBM sedikit masa dulu. Cepat pula saya teringat Tautan, antologi puisi Melayu-Jerman. Antara kerjanya di perpustakaan Jabatan Pengajian Asia Tenggara, hampir setiap tahun memunggah buku-buku Melayu ke Frankfurt. Saya teringat beberapa watak perpustakawan dalam Hadiah Hanafi dan Perempuan si Pemetik Harpa. Mereka ini manusia yang menyimpan banyak cerita dan sekali sekali mahu menguji kita yang menjadi pendengarnya.

Comments