Rupanya banyak yang kita lakukan atau ujarkan, ditelah orang dengan pelbagai capahan matra yang mungkin sahaja tidak sama sekali kita terfikirkan. Ia lalu mengheret kita ke negeri kesedihan, keperihan dan memaksa masuk ke daerah yang serba serbi keliru. Allah, bukankah selama ini saya cuba sebaiknya menjadi sahabat yang tulus? Saya cuba menyertai walau saya mungkin sahaja kelihatan aneh dan asing. Rupanya dengan penyertaan yang jujur itu, saya masih ditonton dengan mata canggung.  O, rupanya dalam kedunguan itu, saya mencipta petaka sendiri. Dan adakah ini petanda bahawa saya akan terus tidak tahu bagaimana menjadi sahabat yang selayaknya. Saya pernah mencatat kurang lebih begini lama dahulu: Nilai perbuatan usah pernah ditimbang dengan mata manusia. Ia tidak akan pernah menjadi saksama. Apabila telah ada saranan melakukan kebaikan, maka berikhlaslah. Tidak bertambah kerana pujian atau berkurang kerana kejian, kerana keikhlasan itu sangat rahasia. 


Atau saya harus segera kembali ke gua lama yang saya tinggalkan. Mungkin itu jalan yang terbaik. Mungkin itu lebih meneduhkan. Seperti petikan dari Perempuan si Pemetik Harpa, apabila mengerjakan sesuatu dari dasar jiwa luhur, maka sangat terasa ada sebatang sungai yang mengalir di dalamnya. Dan itu namanya kebahagiaan. Maka apabila saya melukis, menyanyi atau menyulam kain dan akhirnya memetik harpa, ia merupakan doa dan ingatan saya kepada Dia. Selalu saya dapat rasakan dingin air sungai ketika kaki mencecah dan ia membawa seribu rasa kejernihan, penyucian. Di situ titik Rumi menuntun saya untuk memilih jalan bagi mempunyai kerendahan hati.

Comments

Mawar said…
Mamawana
Terima kasih singgah lagi.