Petang Jumaat penuh rahmat apabila dapat duduk bersama guru lama. Bertanya khabar. Berganti cerita tentang perkembangan terkini, pengisian rutinitas, tulisan baru atau projek buku. Bertukar harapan dalam usia masing-masing yang tinggal sedikit bakinya. Seingat saya, tidak pernah mengambil kursusnya semasa menjadi mahasiswa. Kami sejabatan ketika saya masuk sebagai tutor dan pernah bersebelahan bilik kerja. Sesekali saya dimintanya membantu mengendalikan komputer. Lucu, banyak pula yang menyangka saya anaknya kerana nama Shafie. Saya juga pernah dalam usrah yang sama dengan isterinya Ustazah Mukminah. Ditemani sahabat, Dr Kay, banyak yang kami fikirkan bagi memanfaatkan ziarah ilmu ini. Entah saya ini terlalu sentimental atau terkesan dengan susuknya yang masih dengan kerendahan hati, saya sebak sewaktu memandu pulang. Entah mengapa, tersekat-sekat saya merakam entri kali ini. Ingatan saya terhadap tokoh Takmilah, Dr Shafie Abu Bakar, bersuling-daling, berkali-kali saya cuba merapikan ayat di sana sini. Atau mungkin saya terkesan dengan kisahnya semasa bergelar wakil rakyat, orang kemanusiaan seperti kita tidak mudah berhadapan dengan pertelingkahan politik. Di ruang GBBI, kami berjanji untuk berjumpa lagi. Saya lihat banyak bungkusan buku tulisannya yang disusun bertimpa-timpa di satu penjuru. Ilmunya yang jarang mahu dijualbeli, sebaliknya dijadikan hadiah kepada yang datang. Allah!
Comments