Saya mempunyai teman-teman solat yang hampir serupa setiap hari. kecuali sewaktu minggu suai kenal minggu lalu, dewan solat dipenuhi mahasiswa baru. kemudian ia kembali reda. ya, ruang solat muslimah sekarang tidak sangat berlapis-lapis sepertimana minggu-minggu ramadan.  antara teman solat saya itu seorang tokoh sarjana bidang sains, yang dalam diam saya kagumi. pertama kali kami bersalaman usai solat, saya melihat air mukanya yang redup dan tenang. biasanya beliau akan membaca al Qur'an sebelum dan selepas solat. untuk sekian lama saya mencari-cari tokoh akademik yang mahu saya hormati kerana kebaikannya dalam mencintai solat, memujuk tekanan bekerja kami dengan al Qur'an atau sebaris kata dalam mesyuarat kita bekerja sebagai ibadah. maaf, saya belum berjumpa (atau semuanya itu terlalu peribadi, yang harus disimpan sendiri?). tapi saya menemui ketaatan itu pada teman solat saya yang seorang ini. siang tadi sebaik mengamin doa zohor, kami berdakapan dan beliau menggenggam tangan saya erat. saya menangis dalam hati. alangkah ketua saya dapat melakukannya terhadap kami. saya mahu menangis lagi bila teringat kata teman solat saya yang merupakan saintis pemakanan itu, semoga nanti kita menjadi tetangga di tempat yang terbaik di akhirat. insya Allah. ya Allah, Allah, Allah....
 

Comments

ardisia said…
Insya Allah, semoga kita semua adalah jiran tetangga di sana.Sudah tentu perlu ada usaha ke arah itu.
Mawar said…
Ardisia
Allahu akhbar!
insya Allah.
Akmar said…
salam'alaik Dr Mawar,
bersyukur dan bahagianya rasa jika dipertemukan dengan insan sebegitu.. :-)
Mawar said…
wa'alaikumussalam Akmar
iya. dalam sujud saya selalu bersyukur dipertemukan dengan insan yang memberikan kita pencerahan.